Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof mengakui kejayaan yang diperolehi oleh adiknya, Syafiq Yusof bukan sesuatu yang mudah.

Menurut Syamsul, dia kagum dengan kematangan yang ditunjukkan oleh Syafiq dalam pengarahan filem sehingga setiap arahannya berjaya menambat hati penonton.

"Jujur saya katakan perjalanan Syafiq tidak semudah seperti apa yang kita sangkakan kerana filem dia sebelum ini ada juga yang tidak berjaya.

"Namun saya lihat dia tidak berputus asa sebaliknya naik semula bila filem komedi arahannya, Abang Long Fadil mula dapat perhatian daripada penonton.

"Syafiq juga menunjukkan kematangannya dalam setiap arahan dan perkara itu membuatkan filem yang diarahkan oleh dia sering mendapat perhatian dan pujian penonton.

"Jadi, sebagai abang sudah pasti saya bangga dengan kejayaan dan pencapaiaan yang ditunjukkan oleh Syafiq serta dia juga telah menaikkan semangat saya untuk bersaing secara sihat dalam menghasilkan filem pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.

Syamsul berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem KL Special Force di Mmcineplexes e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Syamsul Yusof filem bercorak kepolisan ini turut dibintagi Fattah Amin, Datuk Rosyam Nor, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem KL Special Force di pawagam seluruh sekarang.