Drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu yang diadaptasi dari novel karya Siti Rosmizah sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Menampilkan pelakon hebat seperti Datuk Farid Kamil, Nelydia Senrose, Nadiyah Shahab, Azri Iskandar, Adibah Noor, Adriana Adnan dan ramai lagi, drama bersiri ini diarahkan oleh Along Kamaludin.

Menerusi pemerhatian di laman Twitter, drama bersiri ini yang bersiaran selama 32 episod ini berjaya mengundang kesedihan peminat.

Rata-rata peminat drama bersiri ini sebak sehingga berjuraian air mata menyaksikan episod ke-31 Lafazkan Kalimah Cintamu yang ditayangkan malam tadi.

Menerusi episod yang sama, peminat turut memuji lakonan Nelydia dan Adibah yang kelihatan sangat meyakinkan sehingga mereka yang menontonnya turut menangis.

Peminat juga tidak sabar untuk menyaksikan kesudahan kisah antara Tengku Aqilah dan Tengku Ryan dalam episod akhir yang bakal bersiaran malam ini.

Jangan lupa saksikan episod akhir Lafazkan Kalimah Cintamu pada jam 10 malam ini di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal