Penyanyi Liza Hanim akui terharu apabila peminatnya mengucapkan terima kasih kerana kembali memeriahkan industri muzik tanah air selepas sembilan tahun menyepi.

Liza Hanim berkata dia tidak menyangka ramai peminat yang mengharapkannya untuk kembali menyanyi serta merinduinya.

"Alhamdulilah selepas sembilan tahun saya menyepi, akhirnya saya dapat kembali dengan single terbaharu saya iaitu Mimpi.

"Saya gembira dan terharu apabila peminat pula mengucapkan terima kasih kepada saya kerana kembali menyanyi.

"Terkejut juga apabila sebenarnya ramai yang merindui saya dan mahu saya terus menyanyi.

"Mereka telah memberi semangat dan inspirasi kepada saya untuk terus mengejar impian saya dan terus menyanyi selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.

Naib juara Gegar Vaganza 4 (GV4) itu ditemui selepas pelancaran single Mimpi di Soireelab, Putrajaya semalam.

Mendapat sentuhan komposer Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya, Liza memberitahu dia yakin single itu bakal hits.

"Saya terpikat dengan 'corus' lagu ini bila pertama kali mendengarnya.

"Pada saya 'corus' dia sangat berhantu seperti ada satu panggilan yang menyeru.

"Struktur lagunya pun sedikit berbeza daripada biasa yang kita dengar," katanya lagi.

Liza memulakan karier seninya sekitar tahun 1997.



Teks oleh: Syafiqah Jalal
Foto: Instagram @razinzain