Sebelum bergelar isteri kepada usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida telah terlebih dahulu terlibat dalam dunia seni.

Menjadi salah seorang penyanyi kumpulan nasyid Solehah yang turut dianggotai oleh Bienda, Shahida mengakui perbezaan ketara bidang seni dahulu dan kini.

“Suasananya berbeza. Dahulu, tiada kecaman hebat dan berbisa seperti sekarang. Lagipun, saya menganggotai kumpulan nasyid, pastinya keadaan yang saya lalui berbeza berbanding selebriti lain.

“Sekarang zaman internet, semua orang ada akses menerusi telefon pintar dan kemudahan ada dihujung jari sahaja. Banyak perkara boleh ditimbulkan oleh sesetengah pihak dan dijadikan isu hangat,” kata Shahida yang ditemui di majlis sambutan hari lahir Nur Sajat baru-baru ini.

Turut terkesan dengan kecaman yang diterima oleh Aliff yang menerima kritikan selepas membintangi filem Badang, Shahida mengakui dia sedih membaca kritikan yang berbaur cemuhan dan menjatuhkan.

“Sebagai isteri, tipu kalau saya tidak terkesan. Sedih memang sedih kerana banyak kritikan yang berunsur cemuhan dan menjatuhkan.

“Kritikan yang membina itu positif untuk penambah baikan di masa akan datang, tetapi apa yang banyak diterima adalah kritikan menjatuhkan.

“Kritikan sebegitu lebih berunsur kejian serta penghinaan yang boleh menjatuhkan maruah dan membuka aib.

“Buatlah apa saja, jika sudah benci, semuanya akan jadi tak betul. Saya juga ada berpesan kepada suami agar berhati-hati sebelum memuat naik apa sahaja foto, video serta kapsyen di laman sosial,” katanya lagi.

Program realiti yang menampilkan kehidupan Aliff, Shahida dan keluarga, Oh Abang Kosmetik kini sudah mula bersiaran untuk musim yang kedua.

Jangan lupa saksikan program realiti tersebut setiap Isnin, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Shahida