Penyanyi Syamel menafikan dakwaan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan duet, Ernie Zakri.

Syamel berkata dia terkejut sebaik sahaja mendapat tahu mengenai dakwaan tersebut kerana mereka berdua hanyalah sahabat baik.

“Mungkin ada orang terdengar saya panggil Ernie ‘sayang’ dan mereka membuat penilaian sendiri.

“Saya agak terkejut apabila timbulnya gosip seperti ini kerana kami berdua memang tiada hubungan istimewa.

“Sebenarnya perkataan itu hanyalah gurauan, Ernie adalah kawan baik saya dan secara jujurnya kami tak bercinta pun,” jelasnya.

Syamel ditemui pada majlis pelancaran muzik video artis dibawah label Rocketfuels di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Kata Syamel lagi, sekiranya mereka berdua bercinta biarlah pengesahan mengenai hubungan itu keluar daripada mulutnya sendiri.

“Saya faham sebagai anak seni kita tidak akan terlepas dilanda gosip, bagi saya biarlah dakwaan itu berasas.

“Tetapi apabila gosip tersebut melibatkan ramai pihak sehingga ada yang kata keluarga kami dah restu, saya rasa itu tidak patut.

“Kalau perkara itu betul biarlah kenyataan itu keluar daripada mulut saya sendiri.

“Seandainya kata kami bercinta, saya akan beritahu. Nak sorok buat apa?

“Buat masa sekarang soal jodoh saya tolak tepi kerana mahu beri fokus pada kerjaya dan juga persiapan untuk AJL 32,” ujarnya.

Syamel bakal beraksi di AJL 32 bertempat di Arena Axiata Bukit Jalil pada 11 Februari ini dengan lagu Lebih Sempurna.

Selain Lebih Sempurna, Syamel juga akan berentap dengan mempersembahkan lagu duet bersama Ernie, Biar Cinta.

Terdahulu, Syamel dikatakan memanggil Ernie dengan panggilan sayang dan hubungan pasangan ini juga dilaporkan semakin rapat.

Malah ada berita yang mengatakan kedua –dua penyanyi ini sudah bertemu dengan keluarga masing-masing.

Foto: Instagram @syamel_official / @erniezakri

Teks oleh: Mya Amri