Pelakon Zamarul Hisham mengakui banyak belajar mengenai kisah perceraian selepas berpisah dengan isterinya, Diana Rafar, tiga tahun lalu.

Menurut Zamarul, dia mengambil iktibar daripada sejarah hitam itu untuk menjadi seorang suami yang lebih baik dan bijak mengawal emosi sebelum melakukan apa-apa keputusan.

"Persefahaman di antara suami dan isteri adalah penting supaya jika terjadi sebarang masalah dapat diselesaikan segera.

"Buang secepat mungkin rasa negatif itu sebelum ia melarat menjadi lebih besar.

"Pengalaman lalu banyak mengajar saya supaya tidak mudah tewas dengan hasutan syaitan kerana ia mampu menjerumuskan kita kepada perkara tidak baik.

"Saya berharap pendekatan ini boleh diamalkan oleh pasangan yang sudah berkahwin atau mereka yang bercinta juga kerana Syaitan akan lakukan apa sahaja untuk melihat keruntuhan sesebuah ikatan," katanya kepada Astro Gempak.

Zamarul berkata demikian ketika ditemui pada majlis minum petang bersama Kopi Badang, di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Zamarul dan Diana Rafar disahkan bercerai talak satu pada 14 Februari 2015 sebelum merujuk semula selepas sebulan berpisah.