Penyanyi Chris Brown bakal berdepan dengan hukuman penjara selama enam bulan selepas gagal mendapatkan permit untuk membela monyet jenis Capuchin yang diberi nama Fiji.

Menurut laporan E Online, Chris Brown telah menerima kecaman daripada orang ramai selepas memuat naik foto anak perempuannya mendukung seekor monyet di Instagram miliknya.

Akibat daripada itu, peminat Chris telah membuat laporan kepada Agensi Bahagian Hidupan Liar California dan pihak berkenaan pantas mengambil tindakan melakukan siasatan lanjut.

Selepas siasatan dilakukan, pihak tersebut mengesahkan bahawa Chris memelihara haiwan itu tanpa permit dan dia tidak mempunyai sebarang rekod pemilikan monyet berkenaan.

Atas kesalahan tersebut, Chris berdepan dengan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan kerana dianggap telah memelihara haiwan liar tanpa izin dan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah di Los Angeles.

Sumber: E Online