Pelakon Julia Ziegler akui semakin jarang mendedahkan kehidupan peribadinya menerusi akaun Instagram (IG).

Julia berkata dia mahu mengehadkan jumlah posting serta hanya mahu berkongsi mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kerjaya sahaja.

“Sekarang saya agak senyap sedikit di media sosial dan kalau boleh tidak terlalu mendedahkan hal peribadi saya di IG.

“Saya akui kalau dulu memang hampir setiap hari ada saja lima atau enam posting namun kini saya mengambil langkah untuk kontrol apa yang saya ingin muat naik.

“Pilih apa yang terbaik untuk diri, saya lihat ramai yang menggunakan platform media sosial ke arah negatif.

“Saya tidak nafikan, ada bagusnya media sosial ini cuma yang saya rasa kurang berkenan apabila mereka menukarkannya menjadi tempat untuk kutuk-mengutuk dan menghentam orang lain.

“Itu yang tidak bagus, kadang-kadang terdetik juga rasa hati, adakah mereka yang mengutuk ini mahukan perhatian atau apa?

“Kadang-kadang kita tidak tahu, kata-kata kutukan yang agak melampau mampu meninggalkan kesan terhadap diri seseorang,” katanya kepada Astro Gempak.

Julia ditemui ketika majlis Habib Warehouse Sale 2017 bertempat di Ampang Point baru-baru ini.

Dalam perkembangan terbaru, Julia bakal muncul dengan drama bersiri "Laluna" tidak lama lagi.

Foto: Instagram @zieglerjulia

Teks oleh: Mya Amri