Pelawak, pegacara dan penyampai radio, Ajak, 32, akui speechless apabila mendapat tahu isterinya Afifah Amin, 32, merupakan dalang majlis kejutan ulang tahun kelahirannya baru-baru ini.

Ajak berkata, dia sedikit pun tidak menyangka isterinya mampu menjadi dalang kerana tiada sebarang tanda-tanda dan kelakuan aneh ditunjukkan Afifah di hadapannya.

“Cuma tadi, sebelum keluar dari rumah dia (isteri) macam sengaja lengah-lengahkan masa. Sedangkan kami anak-beranak sudah bersiap hendak keluar.

“Saya pelik sebab dia yang bersungguh-sungguh ajak saya makan di restoran ini kerana dia tahu ini tempat kegemaran saya.

“Tak sangka pula orang di Kelab Golf Seriemas ini pun ‘berpakat’ sekali dengan memberitahu restoran penuh kerana sudah ditempah dan minta saya gunakan ruang sebelah dalam.

“Bila masuk dalam, rupanya semua orang yang saya kenali ada di sana. Ya Allah...saya blur dan speechless sampai tak tahu nak bagi reaksi apa,” katanya ketawa.



Dalam pada itu, Ajak berterima kasih dan terharu dengan kesungguhan isterinya kerana walaupun terlantar sakit di hospital, masih mampu memikirkan sesuatu untuk menggembirakan hatinya.

“Saya terharu kerana dia tidak pernah lupa hari-hari penting dalam hidup kami. Walaupun sakit di hospital, masih sempat plan semua ini.

“Di kesempatan ini, sempena ulang tahun kelahiran yang ke-32 saya berharap peningkatan usia ini menjadi permulaan yang positif bagi tahun 2018.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersusah payah untuk saya selama ini sehingga sya berada di tempat saya sekarang,” ujarnya kepada Astro Gempak.

Ajak ditemui di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu sempena majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-32.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah pelawak Atu Zero, penyampai radio Hot FM Fizie, sahabat terdekat Ajak dan rakan media.