Penyampai radio Sinar, Jep Sepahtu akui gembira menerima pelawak Angah Raja Lawak sebagai pengganti tempat Shuib dalam segmen baharu, Pagi Di Sinar.

Jep berkata dia dan Rahim tiada masalah bekerjasama dengan Angah kerana mereka sudah saling mengenali sejak dahulu lagi.

“Tiada masalah bekerjasama dengan Angah kerana kami sudah lama saling mengenali sejak dari program Raja Lawak lagi.

Chemistry tu dah ada dan kami mudah serasi kerana Angah bijak juga dalam mengatur katanya supaya perbualan kami nampak spontan sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.

Jep, Rahim dan Angah ditemui selepas siaran luar dan sesi sarapan pagi bersama pengemidi Pagi Di Sinar di Umai Cafe, Putrajaya pagi tadi.

Sementara Angah memberitahu teruja pertama kali menceburi bidang penyampaian radio dan gembira menerima maklum balas yang positif daripada pendengar.

“Alhamdulilah saya dah lama mencari peluang untuk menceburi bidang ini kerana sebelum ini saya sudah ada pengalaman menjadi DJ di supermarket.

“Bila peluang ini datang saya sangat teruja, lebih-lebih lagi bekerjasama dengan dua rakan yang saya sudah lama kenali.

“Baru empat hari menjalankan tugas ini saya sangat gembira dan lega apabila menerima ‘feedback’ yang positif dari pendengar.

“Saya akan terus berikan terbaik supaya Pagi Di Sinar menjadi kegemaran ramai,” katanya lagi.

Angah mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Shuib yang mengundurkan diri pada penghujung November tahun lalu.

Sebelum ini, segmen Pagi Di Sinar dikenali sebagai Sepahtu Sinar.

Teks oleh: Syafiqah Jalal