Pelakon dan penyanyi Alvin Chong berkongsi pengalaman bekerja dengan aktres Janna Nick.

Mereka berkolaborasi dalam sebuah lagu duet terbaru berjudul Aku Kamu yang menjadi lagu runut bunyi drama bersiri My Coffee Prince.

“Dia seorang yang gila-gila. Mungkin ada sesetengah orang melihat Janna sebagai gadis yang ‘loud’, tetapi sebenarnya, dia sangat baik.

“Apabila berkawan dan bekerja dengan Janna, kita dapat rasakan auranya yang sangat kuat. Saya senang bekerjasama dengan Janna dan gembira kerana dapat mengenalinya,” kata Alvin.

Ketika ditanya mengenai penguasaan Bahasa Melayu Alvin yang semakin baik, pelakon drama bersiri Awak Suka Saya Tak itu mahu sentiasa belajar untuk membaiki dirinya.

“Saya banyak belajar dan saya rasa tidak cukup jika saya berhenti belajar. Semakin lama dalam industri, saya mahu lebih terus maju dan menguasai Bahasa Melayu.

“Jika ada peluang, saya sentiasa mahu belajar dan memperbaiki aspek tersebut dari segenap aspek, tidak kiralah bidang nyanyian, lakonan, persembahan dan sebagainya,” kata Alvin lagi.

Jangan lupa saksikan My Coffee Prince lakonan Fattah Amin, Janna Nick, Diana Danielle, Fahrin Ahmad dan ramai lagi pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal