Penerbit dan pengarah, Michael Ang mengakui dia tidak menghadapi masalah pelakon enggan mempromosikan produk lakonan.

“Setakat ini, saya bersyukur kerana pelakon yang menerajui drama terbitan saya giat mempromosikan produk lakonan mereka di laman sosial.

“Mereka dengan rela hati mempromosikannya sendiri dan sering berinteraksi dengan peminat berkaitan drama lakonan mereka.

“Mungkin kerana ikatan antara pelakon, pihak penerbit dan krew produksi sudah terjalin baik sejak dahulu, masalah itu tidak terjadi biarpun dalam kontrak tidak menetapkan pelakon untuk mempromosikan karya mereka di media sosial,” kata Michael.

Dalam pada itu, Michael tidak bersetuju dengan pendirian sesetengah pelakon yang tidak mahu mempromosikan produk sendiri.

“Secara umum, saya kurang bersetuju. Apa sebab sebenarnya sehingga ada segelintir pihak enggan mempromosikan produk sendiri?

“Jika difikirkan semula, jika produk tersebut menjadi sebutan dan menempa populariti, nama pelakon juga yang akan disebut, bukan nama penerbit atau pengarah, bukan nama penyunting, bukan nama pengurus produksi,” katanya lagi.

Drama arahan Michael, My Coffee Prince kini sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen.

Jangan lupa saksikan My Coffee Prince lakonan Fattah Amin, Janna Nick, Diana Danielle, Fahrin Ahmad dan ramai lagi pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal