Kejayaan atlet negara di sukan Olimpik dan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini membuka mata rakyat Malaysia.

Terutama atlik Paralimpik yang telah membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi atlet luar biasa Ridzuan Puzi, Ziyad Zolkifli, Latif Romly dan Radiah Ismail.

Bagaimanapun atlet negara di sukan Olimpik juga tidak kurang hebatnya kerana telah berjaya mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang empat pingat perak menerusi sukan badminton dan terjun papan anjal serta satu gangsa dari sukan berbasikal.

Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol David, Pandelela Rinong dan Azizul Hasni Awang bukanlah sesuatu yang asing di arena sukan negara, namun amat sukar bagi Malaysia mencari pengganti mereka jika tidak ramai orang kita yang cintakan sukan.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus.

Apabila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita dan jika tiada budaya ini, tapak penyertaan sukan akan semakin menyusut.

Ibu bapa juga tidak akan menggalakkan anak-anak untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan apabila tiada budaya bersukan.

Sehubungan dengan itu, bagi menggalakkan rakyat bergiat aktif dalam sukan dan memastikan mereka kekal cergas dan sihat maka KBS mengambil langkah pro aktif dengan melaksanakan program-program berunsur kecergasan dengan pendekatan yang lebih dinamik melalui program Fit Malaysia yang telah di lancarkan pada 7 September 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur di ikuti dengan siri jelajah yang di adakan di seluruh negara.

Sebagai acara kemuncak kepada program Fit Malaysia, Hari Sukan Negara di ilhamkan sebagai satu hari ikonik tahunan rakyat Malaysia yang akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bagi meraikan dan mengiktiraf penglibatan mereka dalam aktiviti sukan, seterusnya menjadikan ia sebagai satu gaya hidup.

Hari Sukan Negara adalah inisiatif kementerian di mana setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Sukan Negara oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sambutan Hari Sukan Negara yang pertama pada tahun lalu telah diadakan pada 10 Oktober 2015 manakala pada tahun ini akan disambut pada 8 Oktober 2016 (Sabtu) secara serentak di seluruh negara.

Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2016 akan diadakan di Presint 2, Persiaran Perdana Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Terdapat lebih 16,000 aktiviti yang bakal dianjurkan di seluruh Malaysia baik di kota-kota besar hingga ke setiap kampung dan desa.

Anda boleh turut serta dalam aktiviti-aktiviti ini ataupun turun bersukan dengan siapa-siapa sahaja, di mana sahaja anda berada.

Ajak saudara mara untuk berlari, berbasikal atau rakan-rakan untuk bermain futsal. Yang penting, kita semua mengambil langkah pertama kearah Malaysi yang lebih cergas dan sihat. Inilah semangat sebenar Hari Sukan Negara – satu hari di mana rakyat Malaysia turun ke padang untuk bersukan.

Bagi maklumat lanjut boleh menghubungi pihak Sekretariat Hari Sukan Negara di Peringkat Negeri dan juga boleh dilayari di laman sesawang www.harisukannegara.my