Kumpulan K-Pop terkenal BigBang berjanji akan kembali ke Malaysia selepas jatuh cinta dengan ribuan peminat di negara ini.

Hadir untuk menjayakan konsert 2016 BigBang MADE (VIP) Tour di Kuala Lumpur di Stadium Merdeka pada Sabtu lalu teryata disambut meriah oleh peminatnya.

Tidak dinafikan kedatangan mereka sememangnya di tunggu-tunggu oleh VIP (gelaran peminat) sejak hari pertama pengumuman mengenai acara ini di di hebahkan.

Sejak awal pagi lagi peminat sudah berbaris di hadapan pintu masuk walaupun hanya dibenarkan memasuki kawasan pentas pada jam 6 .30 petang semuanya gara-gara mahu mendapatkan tempat terbaik untuk melihat persembahan idola mereka itu.

Kira-kira jam 7.45 malam, anggota kumpulan BigBang, G -Dragon (GD), Taeyang, Seungri dan Daesung muncul ke pentas dengan gaya santai sambil tersenyum dan melambaikan tangan ke arah peminat.

BigBang memberikan sedikit kelainan kali ini apabila tirai konsert dimulakan dengan tiga segmen permainan diantara ahli kumpulan tersebut iaitu ‘Play Game’, ‘Resque The Bottle’ dan ‘Cheek to Cheek’.

Melihatkan telatah lucu empat jejaka itu bersungguh-sungguh bertanding sesama sendiri untuk menjadi juara membuatkan peminat mula bersorak dengan kuat.

Selesai segmen tersebut, pentas kembali hangat apabila muzik lagu Loser dimainkan dan peminat mula menyanyikan lagu tersebut.



Walaupun mereka hanya berdiri di pentas sebelum memulakan nyanyian, sorakan lebih 10000 penonton yang bergema di Stadium Merdeka sudah cukup untuk menilai betapa hebatnya populariti BigBang.

Terkenal dengan persembahan hebat bertaraf antarabangsa, BigBang juga turut menyampaikan lagu-lagu popular mereka antaranya Bang Bang Bang, If You, Bad Boy, Bae Bae dan We Like 2 Party.

Walaupun kehadiran BigBang kali ini tanpa TOP, namun persembahan mereka ternyata tidak mengecewakan.

Sesekali terlihat Daesung dan Seungri menyanyikan bahagian rap yang sepatutnya dinyanyikan oleh TOP.

Selain itu, BigBang juga tidak ketinggalan mempersembahkan lagu-lagu solo mereka, Strong Baby (Seungri), Look At Me, Gwisoon (Daesung), Crooked (GD) dan Good Boy (GD x Taeyang).



Antara persembahan yang tidak dapat dilupakan ialah sewaktu Taeyang yang menyampaikan lagu solo popularnya Eyes, Nose, Lips.

Lagu tersebut merupakan disifatkan sebagai lagu ‘berhantu’ penyanyi tersebut kerana berjaya menjuari carta-carta utama di seluruh dunia dalam masa yang singkat.

Dengan kelunakan vokal dan pengahayatan Taeyang yang cukup mendalam semasa menyampaikan lagu tersebut telah menyentuh hati peminat.

Dalam pada itu, BigBang telah memilih lagu ‘Fantastic Baby’ sebagai lagu terakhir dan meminta peminat menyanyi dan menari bersama mereka.



Sebelum mengakhiri persembahan, BigBang menyatakan rasa terujanya kerana berpeluang untuk bertemu peminat di Malaysia sekali lagi dan berjanji untuk kembali dalam masa terdekat.

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama, kami cukup teruja mengadakan persembahan di sini.

“Malaysia aku cinta padamu dan kami janji datang lagi,” kata Taeyang.

Konsert anjuran IME Productions yang berlangsung di Stadium Merdeka itu ternyata meninggalkan seribu satu kenangan manis buat VIP bersama idola kesayangan mereka.