Pelakon Iqram Dinzly mengakui mempunyai alasan tersendiri terhadap kelakuan peliknya sejak akhir-akhir ini.

Menurut Iqram Dinzly, 36, dia terpaksa 'menggadai diri' dan sanggup berdepan kecaman ramai untuk memperkenalkan perniagaan yang baru diusahakannya di bawah jenama Bawaabata Merebucks.

"Lebih sedekad dalam industri hiburan, saya akur jika kita berbuat baik tiada siapa yang akan ambil peduli. Tetapi apabila sesekali berkelakuan aneh, mereka akan berterusan memperkatakannya hingga mencetuskan kontroversi.

"Mungkin ada yang melihat cara saya ini sebagai pemberontakan, tetapi saya ada sebab tersendiri mengapa berbuat demikian.

"Saya perlu melakukan anjakan dengan niat untuk memperkenalkan perniagaan merangkumi fesyen dan seni dengan lebih jauh.

"Cara netizen mengadili saya seolah-olah mereka terlalu suci dan sempurna. Alang-alang menyakitkan hati, lebih baik saya teruskan. Lagipun, apa yang saya buat ini hanya sementara nanti saya akan berhenti,"katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang membalas kecaman netizen dengan melemparkan kata kesat, Iqram berkata, tindakannya itu mencerminkan mentaliti masyarakat hari ini yang terbawa-bawa dengan media sosial.

"Jika mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan kesat, mengapa saya tidak boleh? Saya mahu sedarkan masyarakat perbuatan itu tidak elok. Jika mereka sakit hati dengan kata-kata yang dilemparkan, saya juga begitu," ujarnya.

Sumber: Berita Harian Online