Pelawak Fad Bocey tidak menyesal memberi kalung imuniti kepada Achey walaupun menyedari ahli kumpulan Monyet Mafia itu berpotensi bergelar juara Super Spontan Superstar (SS Superstar).

Fad atau nama sebenarnya Muhamad Fadzlie Mohd Nizam, 25, berkata, dia menganggap itu rezeki Achey dan tidak pernah terfikir tentang merebut gelaran juara.

“Jika Achey dinobatkan sebagai juara SS Superstar, itu rezeki dia. Saya tidak kisah pun tentang itu, Saya beri kalung imuniti kepada Achey kerana merasakan dia memang layak.

“Saya melihat kepada persembahan Achey yang bagus setiap minggu dan sebab itu saya beri dia kalung imuniti,” kataya kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya adakah dia memberi kalung imuniti kerana Achey merupakan ahli kumpulan Bocey, Fad tidak menafikan perkara tersebut tetapi ia bukan sebab utama.

“Saya tahu bila kalung imuniti diserahkan kepada Achey ramai yang fikir saya berikan kepada dia sebab kami dari kumpulan Bocey.

“Ya, itu salah satu sebab tetapi yang utama kerana saya melihat kepada persembahan dia yang konsisten setiap minggu,” katanya.

Fad ditemui ketika majlis sidang media memperkenalkan hos pogram Lawak Solo di The Apartment, KLCC pada petang Selasa.

Mengulas mengenai peminat pelakon Kamal Adli yang mempertikai tindakannya menyelamatkan Achey, Fad berkata, ia adalah hak penyokong masing-masing.

“Saya tidak rasa apa-apa apabila membaca komen-komen peminat di Instagram Kamal yang tidak puas hati kerana Kamal tersingkir.

“Saya tahu mereka kecewa kerana Kamal seorang pemain yang bagus dalam SS Superstar dan berjaya sampai ke peringkat separuh akhir malah hampir ke pentas final,” ujarnya.

Tambah Fad lagi, dia sendiri tidak menyangka akan diberikan kalung imuniti tetapi bersyukur kerana ia membuktikan peningkatannya dalam SS Superstar.

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi ketika mula-mula menyertai SS Superstar. 2014 saya masuk Super Spontan tetapi saya tersingkir awal, dan tahun ini saya berjaya ke pentas final.

“Saya terima tawaran masuk ke SS Superstar pada awalnya, kerana ingin meletakkan diri saya ke tahap yang lebih baik dalam bidang ini. Menang atau kalah saya tidak kisah, kerana ‘target’ dah tercapai,” katanya.

SS Superstar akhir bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Jumaat ini bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Jangan lepaskan peluang untuk tonton #SuperSpontanSuperstar Akhir 2016. Jom dapatkan tiket anda sekarang berharga RM 45.00 di www.ticketpro.com.my.

SS Superstar dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai ‘pengacau’ atau ‘batu api’.