Bintang filem Ola Bola, Luqman Hafidz sanggup mengubah penampilan dan hanya mendengar lagu-lagu rap serta hip hop semata-mata ingin mendapatkan 'groove' tarian dan nyanyian dalam Ola Bola The Musical.

Kata Luqman, pada hari pertama latihannya bersama kumpulan pelakon dan ensemble Ola Bola The Musical, dia tampil berplaster di pipi ala-ala rapper Amerika Syarikat, Nelly.

"Saya datang pada hari pertama latihan dengan menampal plaster di pipi, ala-ala Nelly. Semua terkejut!

"Bagi saya untuk mendapatkan 'groove' hip hop saya perlu jadi individu yang paling ikonik dengan imej muzik itu dan Nelly adala rujukan terbaik saya.

"Selepas itu setiap hari saya wajib buka lagu Nelly di Youtube dan singgah beberapa kali di beberapa lokasi popular hip hop untuk melihat gelagat remaja di sana," katanya ketika ditemui pada sesi rehearsal penuh Ola Bola The Musical di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Sebenarnya menerusi watak Ali dalam pementasan Ola Bola The Musical, Luqman dikehendaki menari dan menyanyi secara rap dan hip-hop.

Gelagat Luqman ketika itu mengundang momen melucukan bagi pengarah Ola Bola The Musical, Puan Seri Tiara Jacquelina.

"Bayangkan pagi-pagi dia datang dengan pipi berplaster. Saya tanya dia, pipi awak luka atau nak tutup jerawat?

"Tapi katanya mahu dapat mood hip hop seperti Nelly!

"Bayangkanlah seharian berlatih dengan pipi dia berplaster memang momen yang melucukan," kata Tiara.

Terdahulu, filem Ola Bola yang ditayangkan pada 28 Januari tahun lalu di 120 pawagam di seluruh negara berjaya mencapai kutipan mencecah RM12 juta.

Ola Bola The Musical yang dipersembahkan oleh CIMB akan dipentaskan di Istana Budaya pada Februari 2018, untuk maklumat lanjut layari www.olabolamusical.com.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @luqmanhafidz10