Naib Juara Akademi Fantasia (AF) 2015, Syamel, berpendapat satu-satunya peserta berbangsa India, Reshma mempunyai potensi untuk bergelar juara AF2016.

Syamel atau nama sebenarnya Syamel Aqmal Mohd Fodzly, 23, berkata Reshma mempunyai keunikan tersendiri dari segi penyampaian lagu.

“Kalau ditanya mengenai pilihan juara AF2016 saya rasa Reshma ada potensi besar untuk merangkul gelaran tersebut.

“Sebab saya rasa dia sangat unik selain mampu menyanyikan pelbagai jenis lagu dengan baik tak kira sama ada lagu berbahasa Melayu mahupun Inggeris.

“Lebih-lebih lagi dia merupakan satu-satunya peserta berbangsa India yang memasuki program tersebut. Saya ‘salute’ dengan keberanian dan juga bakat yang ada pada dirinya,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Sementara itu, Syamel juga diminta mengulas mengenai persembahan Reshma yang membawakan lagu Hidup Dalam Mata di konsert separuh akhir Ahad lalu.

“Saya rasa dia boleh buat yang lebih baik lagi sebenarnya, walaupun dia nampak agak terlalu mencuba untuk membawakan lagu tersebut tapi sebagai penyanyi asal saya berpuas hati dengan persembahan Reshma.

“Yang bagusnya tentang Reshma ini, dia telah membawakan lagu tersebut dengan gayanya sendiri dan tak ada langsung mengikut ‘style’ saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, naib juara AF2015 ini juga tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar yang bakal beraksi di pentas akhir AF2016 pada Ahad ini.

“Beri fokus dan sentiasa rajin berlatih, jangan sia-siakan pengajian sepanjang berada dalam akademi.

“Cuba juga untuk dapatkan rehat yang cukup supaya stamina dan suara tidak terganggu ketika membuat persembahan nanti.

“Lagi beberapa hari saja nak ke pentas akhir, saya ucapkan semoga berjaya dan berikan yang terbaik,” katanya.

Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.

Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.