Pelakon Syafie Naswip mengakui masih berpegang dengan pesanan yang diberikan oleh Allahyarhamah Yasmin Ahmad sejak kemunculan awalnya bergelar seorang anak seni.

Menurut Shafie, 25, sebagai seorang pelakon dia harus mencuba dan menghidupkan apa sahaja watak yang diberi.

"Saya masih berpegang dengan nasihat yang diberikan oleh Yasmin iaitu tidak terlalu memilih watak yang diberikan oleh pengarah.

"Yasmin juga memberitahu saya bahawa apa sahaja yang nak buat dalam hidup, harus dilakukan dengan betul-betul.

"Katanya, kalau sesebuah filem itu nampak kurang bijak, bukan salah filem tersebut tetapi pelakon yang menyebabkan filem jadi begitu.

"Jadi sejak bergelar pelakon 12 tahun lalu saya tidak pernah memilih watak dan akan ambil sahaja watak yang diberikan serta saya akan pastikan karakter yang dibawa akan memberi kesan kepada penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Syafie Naswip berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Jibam, di MM Cineplex ecurve, Damansara, baru-baru ini.

Filem Jibam adalah karya arahan Che Mie dan merupakan filem yang diadaptasi daripada novel popular 90-an hasil tulisan kartunis Ibrahim Anon atau Ujang.

Selain Syafie Naswip, filem ini turut dibintangi oleh Ariff, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Jibam pada 7 Disember ini di seluruh pawagan yang berada di tempat anda.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi