Juara AF2016, Amir yakin kemenangannya itu adalah berdasarkan atas faktor bakat dan bukan berlandaskan rupa semata-mata.

“Bila orang kata menang kerana miliki wajah comel, secara jujurnya saya tidak tahu bagaimana nak memberi respon tentang perkara tersebut kerana itu adalah anugerah tuhan.

“Macam cikgu-cikgu selalu cakap, ada rupa, ada pekej itu merupakan satu bonus, tapi yang paling penting adalah usaha.

“Jadi saya percaya kemenangan ini adalah kerana bakat dan saya rasa peminat nampak bagaimana saya berusaha sepanjang berada dalam akademi untuk sampai ke peringkat final ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media konsert akhir AF2016 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangannya, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 20, akui terkejut dan tidak percaya kerana saingannya adalah hebat-hebat belaka.

“Tipulah kalau kata tak simpan hasrat untuk bergelar juara tapi tak sangka pula hasrat tercapai.

“Waktu nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya rasa macam mimpi kerana finalis semuanya hebat-hebat.

“Sebelum ini pun saya tak pernah sertai mana-mana pertandingan nyanyian dan AF2016 inilah satu-satunya program realiti pertama saya cuba.

“Itu yang buat saya terkejut, pertama kali masuk pertandingan tiba-tiba terus dapat juara. Alhamdulillah ini rezeki saya.

“Saya ingin berterima kasih kepada tenaga pengajar yang berikan banyak tunjuk ajar sepanjang berada di akademi.

“Kepada peminat, terima kasih juga kerana mengundi sejak dari konsert pertama dan percaya dengan bakat yang ada pada saya,” ujarnya.

Dengan kemenangan tersebut, Amir telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM50,000, kredit membeli-belah sebanyak RM 5000 tajaan 11street dan sebuah trofi.

Amir telah menyampaikan lagu single terbarunya, Pemilik Cinta ciptaan Hang Nadim dan lagu cover berjudul Romantis nyanyian asal Kumpulan Spring.

Selain itu, pelajar berusia 20 tahun itu juga turut menerima Anugerah Fantasi Dherbs sekaligus membawa pulang wang tunai RM5000.