Pengarah Michael Ang mengesahkan aktres Neelofa dan aktor Fattah Amin kini menjalin hubungan dan sedang hangat dilamun cinta.

Menerusi ruangan gossip Miss K pada Isnin, Neelofa dan Fattah didakwa sedang menjalinkan hubungan dan bibit cinta mereka mula berputik di set penggambaran.

Neelofa dan Fattah bergandingan buat kali pertama menerusi drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot, arahan Michael Ang dan Hadith Omar yang disiarkan setiap Isnin sehingga Khamis jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

“Mereka memang sedang menjalinkan hubungan cinta, tetapi hubungan itu terjadi dalam drama bersiri tersebut. Mereka mengikut keperluan watak dalam menjayakan karakter Ejaz dan Warda. Sebagai seorang pengarah, apa yang Fattah dan Neelofa tonjolkan menerusi lakonan sangat baik.

“Apabila saya melihat ke dalam skrin selepas selesai sesebuah babak, saya sendiri dapat merasakan mereka seperti betul-betul bercinta. Namun begitu, di luar set, saya sendiri kurang pasti. Perkara itu harus ditanyakan kepada Fattah dan Neelofa sendiri,” kata Michael kepada Astro Gempak.





Memuji mutu lakonan yang ditonjolkan oleh Fattah dan Neelofa, Michael gembira kerana mereka telah memberikan fokus sepenuhnya terhadap drama bersiri tersebut.

“Sejujurnya, saya mahu memberikan pujian terhadap lakonan yang ditonjolkan oleh Neelofa dan Fattah dalam drama bersiri ini. Walaupun sudah lama tidak berlakon, Neelofa menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

“Fattah juga memberikan lakonan mantap, berbeza berbanding mutu lakonan yang ditonjolkan di awal kemunculannya sebagai pelakon. Saya berharap agar drama bersiri ini dapat sambutan positif penonton,” katanya yang ditemui di majlis perasmian sambutan ulangtahun ke-20 Astro di Bukit Jalil pada Isnin.

Selain Michael, majlis tersebut turut dihadiri oleh bintang Korea terkemuka, Kim Rae-Won, hos program National Geographic, Harry Yuan, selebriti terkenal tanah air seperti Aaron Aziz, Zizan Razak, Johan, Lisa Surihani, Hafiz Suip, Adira, Harith Iskander, Datuk Aznil Nawawi dan ramai lagi.