Penyampai radio Era FM, Hani Fadzil mengakui dirinya sibuk dengan kerja selepas bergelar seorang isteri.

Hani mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Wan Faiz Wan Nor pada 7 Julai lalu.

“Selepas lima bulan kami mendirikan rumah tangga, saya agak sibuk dengan kerja. Suami juga begitu.

“Saya ingatkan selepas kahwin, kami berdua lebih santai dan saya ada lebih masa untuk bersama suami, seperti contoh dapat habiskan masa memasak untuknya.

“Namun, jadual masing-masing agak padat. Alhamdulillah, rezeki itu sangat murah. Saya sibuk dengan tugas sebagai penyampai radio serta memenuhi jemputan sebagai pengacara. Suami juga sibuk dengan kerjayanya.

“Saya anggap ini rezeki kami berdua selepas mendirikan rumah tangga. Saya sangat bersyukur dan segalanya dipermudahkan Allah,” kata Hani.

Tambah Hani, personaliti sebenar suaminya selepas berkahwin sama sahaja seperti zaman mereka bercinta.

“Jika ada pasangan berkahwin dapat melihat ‘true color’ masing-masing selepas hidup bersama, tetapi tidak bagi saya dan suami.

“Suami saya sama sahaja seperti kami bercinta dahulu. Mungkin usia perkenalan kami yang mencecah 10 tahun membuatkan kami tahu perangai sebenar masing-masing sebelum hidup bersama,” katanya ketika ditemui di malam Gala InTrend 2017 (#InTrendGala2017) anjuran majalah InTrend.

Hani mengendalikan segmen Johara 30 Era setiap Isnin hingga Jumaat, jam 1 hingga 4 petang.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Hani