Baru seminggu dilancarkan, muzik video terbaharu penyanyi Nabila Razali berjudul Pematah Hati mencecah 2 juta tontonan.

Lebih membanggakan, muzik video yang menampilkan pelakon Aedy Ashraf itu berada di tangga pertama carta Trending Youtube Malaysia.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Nabila berkata, dia tidak menyangka penerimaan baik terhadap muzik video itu daripada peminat dan ia kejayaan manis buat dirinya sepanjang bergelar penyanyi.

"Saya terharu dengan komen-komen positif mengenai hasil muzik video ini walaupun ada yang melihat gimik menjadi pendorong utama.

"Saya berterima kasih kepada sokongan peminat terhadap single ini dan berharap peminat dapat memberikan komen-komen yang positif," katanya.

Pematah Hati adalah ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini dan Ezra Kong.

Muzik video Pematah Hati adalah arahan dua pemuda berasal dari Romania yang menggelarkan diri mereka sebagai Storytellrs.

Manakala, konsep muzik video berkenaan adalah idea daripada mereka sendiri yang berjaya memberi sentuhan bertaraf antarabangsa dan disiapkan hanya dalam tempoh tiga minggu.

Muzik video Pematah Hati menjalani penggambaran di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Blues and Bees, The Bee dan Living Space.

Selain Aedy, ia turut menampilkan selebriti dan personaliti Yaya Zahir, Syada Amzah & Adriana Adnan.

Selain Youtube, Pematah Hati kink boleh dimuat turun menerusi platform digital seperti Raku, Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Kkbox dan Deezer.



Teks oleh: Amri Hassan