Selebriti versatil, Datuk AC Mizal Zaini, 45, atau AC Mizal tidak minta dirinya dilambung atau disanjung kerana semua itu bersifat sementara.

Sebaliknya, AC Mizal berkata, beliau hanya mahu merasakan kasih sayang daripada sesiapa sahaja disekelilingnya.

“Darah seni dalam diri ini akan dibawa sampai ke hujung kudrat selagi masih diberikan kesempatan. Tidak minta dilambung atau disanjung kerana semua itu cuma bersifat sementara.

“Jika diikutkan, saya sudah lengkap segala-galanya dalam hidup ini. Bahkan, saya ada keluarga yang sangat bahagia dan dipenuhi kasih sayang. Akan tetapi, saya tidak mahu pinggirkan yang lain terutama peminat.

“Saya cuma mahukan diri ini dikasihi meskipun apa saja baik buruk atau silap yang saya lakukan,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah AC Mizal, selepas 26 tahun bertapak dalam industri seni, beliau ikhlas menjadi anak seni dan bukan sekadar mahu mengejar material mahupun pangkat semata-mata.

“Banyak sebab saya masih terus mahu berbakti dalam industri seni. Saya mahu mencuba semua dan berusaha menjadi inspirasi kepada ramai di luar sana. Namun, saya melakukan itu bukan demi kemahsyuran.

“Sejujurnya, saya sentiasa berikan yang terbaik buat semua biarlah banyak perkara perlu dikorbankan. Dan saya tidak mahu balasan daripada segi wang atau harta, cukuplah saya disayangi biarpun perkara itu tidak terlihat pada zahir,” ujarnya.

Terbaharu, AC Mizal tampil dengan single berjudul Itu Saja dan meluahkan segala keihklasan yang terbuku dihatinya selama ini menerusi lagu tersebut.

Lagu terbaharunya itu merupakan ciptaan komposer dari Indonesia Inu, Mhala, dan Tantra dan didedikasikan khas buat semua yang menyokongnya selama ini.



Sarat dengan lirik indah serta melodi yang menusuk itu, lagu bergenre balada tersebut meyerlahkan lagi vokal Pitbull Malaysia itu.

Dilancarkan secara rasminya pada 1 Disember lalu, Itu Saja akan memasuki semua platform pasaran baik digital ataupun cetak.

Itu Saja merupakan single keenam AC Mizal sejak bergerak sebagai penyanyi solo pada tahun 2004.

Single ini menjadi percaturan terbarunya dengan menukar hala tuju kepada balada berbanding lagu sebelum ini yang banyak berentak rancak.