Anggota kumpulan K-Pop terkena EXO, Lay dilaporkan tidak sedarkan diri selepas tiba-tiba pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea.

Menurut laporan Soompi, kejadian itu berlaku pada Selasa ketika Lay yang berada di lapangan terbang tersebut sedang menunggu penerbangan seterusnya ke Jepun untuk konsert solo EXO.

Bagaimanapun, keadaan bertukar panik apabila penyanyi tersebut jatuh pengsan sebelum sempat memasuki pesawat.

Lay kemudiannya terus dibawa ke hospital berdekatan dan difahamkan dia tidak sedarkan diri sepanjang perjalanan ke hospital berkenaan.

Berita mengenai Lay telah tersebar di laman sosial dan peminat yang berada di tempat kejadian mengesahkan perkara tersebut.

Rata-ratanya meluahkan rasa terkejut dan bimbang sebaik saja mengetahui tentang kejadian yang menimpa idola kesayangan mereka itu.

Sehingga kini, Lay atau nama sebenarnya Zhang Yixing menjadi topik trending worldwide di Twitter dengan menggunakan hashtag #getwellsoonYixing.

Dalam pada itu, melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan EXO, SM Entertainment menyatakan penyanyi berusia 25 tahun itu pengsan kerana tidak cukup rehat.

“Setelah dibawa ke hospital, kami mendapati kejadian tersebut berpunca akibat daripada tidak cukup tidur.

“Perkara itu juga telah disahkan oleh doktor dan dia akan pulih selepas mendapatkan rehat dengan secukupnya.

“Jadi buat masa ini, Lay akan diberi masa untuk berehat buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, Lay tetap menyatakan hasratnya untuk bersama dengan anggota EXO yang lain sewaktu konsert solo Exo berlangsung nanti.

“Kami akan memberikan kata putus mengenai permintaannya selepas meneliti dan memantau tahap kesihatannya nanti,” jelasnya.

Konsert solo EXO dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober ini di Makomanai Sekisui Heim Ice Arena, Jepun.

Terdahulu, Lay sibuk dengan aktiviti solonya di negara China selain mengadakan konsert jelajah bersama kumpulan EXO.