Buat julung kalinya, Kumpulan Akim & The Majistrest bakal mengadakan konsert mereka di Singapura pada 26 Januari 2018.

Konsert Akim & The Majistrest- Live In Singapore 2017 yang dianjurkan oleh Adi Media Pte Ltd itu bakal diadakan di Esplanade.

Salah seorang ahli Akim & The Majistrest, Zarimi Zahariberkata mereka sangat teruja apabila diberi peluang untuk beraksi di Singapura meskipun ada rasa sedikit gemuruh.

"Kami pernah beraksi di Singapura ketika Anugerah Planet Muzik (APM) pada tahun 2015 dan terkini Ramadan lalu iaitu ketika Celeb-Fest Singapore.

"Persembahan kami mendapat sambutan yang amat memeranjatkan kerana mereka sangat gembira dan enjoy.

"Kali ini, apabila diberi peluang untuk beraksi dalam skala yang lebih besar sudah tentu kami teruja dan amat gembira.

"Namun dalam masa yang sama sedikit gemuruh kerana bimbang tidak dapat beri apa yang mereka mahu," katanya ketika sidang media Konsert Akim & The Majistrest- Live In Singapore 2017 semalam.

Akim & The Majistrest baharu sahaja mengadakan konsert pertama mereka di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada Februari lalu.

Mengulas mengenai konsert mereka, vokalis Akim memberitahu mereka akan tampil dengan konsep berbeza dalam persembahan yang akan berlansung selama dua jam.

"Kami akan membawa konsep Planet Akim & The Majistret yang mana penonton yang hadir akan rasa seperti satu planet yang berbeza.

"Maksudnya mereka akan dengan muzik kami di planet kami.

"Kami akan menyanyikan 18 buah lagu yang mana turut menampilkan beberapa lagu baru dan lagu cover," katanya.

Tiket-tiket berharga dari $68 (RM208) hingga $148 (RM452.40) dan boleh didapati secara online di www.apactix.com