Artis baru Indonesia kurang dikenali dan tidak mendapat perhatian pendengar muzik Malaysia berbanding Datuk Rossa, Krisdayanti dan Afgan.

Berjaya menembusi pasaran Malaysia menerusi lagu Tetap Dalam Jiwa, penyanyi Isyana Sarasvati bersyukur dan tidak menyangka muziknya dapat diterima oleh pendengar tempatan.

“Sejujurnya, saya hilang kata-kata. Saya tak sangka muzik saya diterima di sini. Saya tak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk muzik saya keluar dari Indonesia.

“Walaupun jalur muzik saya tidak mengikut mana-mana artis, saya rasa gembira kerana ia mendapat perhatian peminat di Malaysia,” kata Isyana kepada Astro Gempak.

Tambah Isyana, dia gembira dengan penerimaan peminat serta mahu fokus dalam membina kerjaya muzik yang lebih besar.

“Saya terharu dengan penerimaan peminat. Rasa sangat dihargai apabila ada orang luar yang meminati karya saya.

“Saya mahu lebih fokus dalam berkarya dan mahu membina empayar dalam muzik agar dapat memenuhi permintaan peminat yang selama ini tidak henti menyokong,” katanya ketika ditemui di sesi temu bual media di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Isyana berada di Malaysia untuk rangka promosi album keduanya yang berjudul Paradox.

Menerusi album tersebut, single pertamanya yang berjudul Terpesona mula mendapat perhatian peminat.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @isyanasarasvati