Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad mengemudi sebuah program terbaru pencarian bakat Islamik untuk kanak-kanak, Ceria I-Star.

Program terbaru yang bakal bersiaran di Astro Ceria ini merupakan sebuah program konsep baru yang lebih segar dalam mengenengahkan bakat-bakat Islamik anak kecil di Malaysia.

Ceria I-Star menampilkan 10 peserta yang punyai pelbagai bakat dan aksi berbeza dalam menyampaikan kandungan Islamik menerusi medium yang komersial dan di atas talian.

Para peserta diberi kebebasan mempamerkan apa sahaja bakat yang mereka ada. Dari pendakwah muda sehinggalah kepada penyanyi lagu-lagu ketuhanan sehinggalah ‘choral speaking’ dalam Bahasa Arab, Ceria I-Star mahu mengangkat mesej Islam dalam cara yang paling menarik dan sedikit santai khususnya dalam menarik minat anak-anak di rumah lebih mendalami konsep agama Islam yang mudah dan indah.

“Melalui Ceria I-Star, kami mahu menjadikan dakwah satu medium yang lebih menarik menerusi kepelbagaian bakat dan kelebihan yang mereka ada.

“Bukan sahaja bakat-bakat tempatan, Ceria I-Star juga menampilkan peserta dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei dalam mencari yang terbaik di antara yang terbaik.

“Hasilnya, kami berjaya mencari bakat-bakat kecil yang satu hari nanti boleh menjadi penyambung kepada pendakwah-pendakwah di nusantara,” kata Mohd Irwan Abdul Rauf selaku Penolong Naib Presiden Gen Next Studio Astro.





Selain Nabil yang bertindak sebagai pengacara, Ustaz Yeop turut bertindak sebagai pengacara bersama. Pendakwah popular tanahair, Ustaz Zul bertindak selaku penasihat Ceria I-Star. Ustaz Zul bertindak dalam memastikan kandungan baik dari segi persembahan juga keseluruan pelaksanaan Ceria I-Star mengikut landasan agama yang betul.

Imam Muda Asyraf dan ahli motivasi terkenal, Amin Idris dipilih menduduki kerusi Juri Tetap sambil ditemani seorang lagi selebriti jemputan sebagai juri undangan pada setiap minggu.

Ceria I-Star akan bersiaran selama 6 episod beserta episod pengenalan di mana kesemua 10 peserta perlu bersaing dan menghadapi penyingkiran di akhir episod.

Aksi-aksi terbaik akan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada November depan. Peringkat akhir akan disiarkan secara langsung khas untuk penonton-penonton di rumah.

Juara Ceria I-Star bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 10,000.00 beserta trofi.

Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 5,000.00 dan juga trofi. Manakala pemenang tempat keempat pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1,000.00 beserta trofi.

Ceria I-Star diceriakan oleh Qu Puteh dan episod pertama Ceria I-Star bakal bersiaran pada malam ini, 14 Oktober 2016 ini bermula jam 9.00 malam hanya di saluran 611, Astro Ceria dan saluran 135, Maya HD.

Teks oleh: Kamaruddin Razal