Pemilik jenama fesyen Azura Couture, Azura Mazaruddin mahu perintah mahkamah dilaksanakan terhadap pelakon Erin Malek.

Erin atau nama sebenarnya, Nur Arina Abdul Malek gagal melunaskan hutang sebanyak RM50,000.

Azura sebelum ini mendakwa Erin gagal membayar hutang berjumlah RM80,000 selepas khidmatnya digunakan untuk majlis pernikahan dan persandingan aktres itu yang berlangsung pada 2014.

“Tahun lalu pihak kami sudah menghantar surat peguam dan pelakon itu bersetuju menjalani proses mediasi.

“Dalam proses itu, Erin yang diwakili bapa tirinya memohon agar jumlah bayaran dikurangkan kepada RM50,000.

“Pihak kami bersetuju dengan permohonan itu dan mahkamah memutuskan bahawa Erin yang diwakili oleh bapa tirinya harus melunaskan hutang berkenaan dengan bayaran secara berperingkat setiap bulan,” kata Azura.

Selepas setahun, aktres Misiku Kuza itu belum menjelaskan bayaran seperti yang dipersetujui.

“Berikutan Erin meminta harga dikurangkan, mahkamah mengarahkan dia memulangkan baju perkahwinan yang kami dihasilkan.

“Dia bukan sahaja tidak membayarnya, malah tidak memulangkan baju seperti yang diarahkan.

“Bagi mendapatkan kembali hak, kami hanya ada satu jalan iaitu meminta mahkamah mengeluarkan arahan pelaksanaan perintah,” katanya.

Menurut Azura, bukan mudah untuk pihak mereka melaksanakannya kerana surat harus diserahkan kepada Erin.

“Masalahnya, dia sudah berpindah dan pihak kami tidak tahu alamat terbarunya. Kami cuba menjejaki Erin menerusi Instagram milik pelakon itu tetapi pesanan yang dihantar tidak berjawab. Komen yang kami tinggalkan di foto Erin juga dipadam,” katanya.

Erin bernikah dengan jejaka pilihan hatinya Farriz Fauzy pada 10 Oktober 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber: Harian Metro