Lima kali memenangi trofi Anugerah Skrin (ASK), pelakon Hasnul Rahmat mendedahkan dia tidak pernah menyimpan sebarang trofi mana-mana anugerah di dalam kediamannya.

Pelik namun Hasnul yang membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Kapcai Ayah mempunyai alasan tersendiri.

Katanya, dia akan menyimpan semua trofi yang dimenanginya di kampungya di Johor.

"Alhamdulillah ini anugerah kelima saya dalam ASK dan sejujurnya trofi ini akan pulang ke kampung halaman saya di Johor.

"Saya selesa menyimpan semua trofi di rumah keluarga saya berbanding tempat tinggal saya sendiri supaya saya tidak rasa megah dengan kemenangan saya.

"Biarlah keluarga saya yang rasa bangga," katanya kepada Astro Gempak.

Hasnul, 46, sebelum ini pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2006 menerusi filem Rock.

Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan drama Kapcai Ayah, Hasnul dikehendaki melakonkan watak dalam tiga generasi.

"Drama itu mengisahkan tiga transisi hidup saya dari zaman remaja, dewasa hingga tua dan ini anugerah pertama saya untuk naskhah drama televisyen," tambah Hasnul.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @hasnulrahmat