Karya pecah panggung, Polis Evo menang anugerah Penerbit Terbaik kategori filem menerusi Joel Soh (Astro Shaw), pada Anugerah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Filem terbitan Astro Shaw itu turut menggungguli anugerah Pengendali Steady Cam Terbaik Kategori Filem menerusi Harris Hue Abdullah, dan Suntingan Filem Terbaik menerusi Mohamad Nazmim Md Shah.

Tidak pulang tangan kosong, sebuah lagi karya terbitan Astro Shaw, Ola Bola, turut memenangi tiga anugerah bagi kategori filem iaitu, Penolong Pengarah Terbaik menerusi Low Xin Yu, Arahan Seni Terbaik oleh Soon Yew Chow dan Dressing Filem Terbaik daripada Lim Chik Fong.

Saluran TV Astro tidak kurang hebatnya apabila drama dan beberapa program terbitan masing-masing turut menerima anugerah:

1. Arahan Seni Terbaik (Prop Master) Siri TV: Mohd. Firdaus Mohd Sahar (Isteri Tuan Ihsan) – Astro Ria
2. Videografi Terbaik Kategori Siri Drama TV: Mohd Shahril Mohd Saad (Isteri Tuan Ihsan) – Astro Ria
3. Majalah TV Terbaik: Syawal Shila Blublack Production – Astro Ria
4. Suntingan Terbaik Telefilem: Sagayan Selvan (Engh En Sangeetha) – Astro Vanavil
5. Arahan Seni Terbaik (Prop Master) Telefilem: Zulkifli Hasuri (Tanah Kubur) – Astro Oasis
6. Pengarah Terbaik Telefilem: Rashid Sibir (Tanah Kubur) – Astro Oasis

Malam anugerah PROFIMA turut menyaksikan Sutradara muda, Syafiq Yusof, dinobat Pengarah Terbaik Filem menerusi filem Desolasi.

Pada majlis itu juga, tiga individu menerima Anugerah Tokoh Profima 2017 iaitu ahli akademik Prof Dr Asiah Sarji, Ketua Pegawai Eksekutif Monspace Multinational Corp Datuk Seri Jessy Lai dan Presiden Point College, Yoki Chin sebagai menghargai sumbangan mereka dalam merancakkan industri filem tanah air.

Sebanyak 63 anugerah dipertandingkan pada Anugerah PROFIMA kali ini.

Anugerah edisi ke-11 itu membabitkan lebih 80 karya filem, drama, telefilem, filem iklan, majalah, filem pendek, animasi dan dokumentari diadakan bagi mengiktiraf pekerja-pekerja di belakang tabir.

Malam anugerah berprestij itu dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Turut hadir Presiden Profima, Khir Mohd Noor.