Juara Super Spontan Superstar 2017 (SS2017), Kamal Adli masih selesa dengan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Biarpun telah memenangi SSS2017, Kamal belum bersedia untuk digelar sebagai pelawak.

“Saya masih pelakon biasa seperti dahulu. Bezanya, sudah tertulis rezeki saya untuk memenangi SSS2017 dan menewaskan pelawak-pelawak yang ada.

“Seperti pelakon lain, saya masih meneliti skrip dan jalan cerita sesebuah naskah sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Tak kisahlah jika karya itu berbentuk serius, lawak atau seram, saya akan menerimanya jika jalan ceritanya bagus,” kata Kamal.

Tambah Kamal, kemenangannya di pentas SSS2017 juga menjadi penawar duka untuk dirinya yang menempuhi pelbagai cabaran minggu lalu.

“Sepanjang minggu lalu, saya berada dalam keadaan tertekan. Pelbagai kontroversi terjadi melibatkan diri saya.

“Kemuncaknya pula apabila motor saya hilang dicuri. Namun begitu, saya tidak mahu mengalah dan cuba memberikan sepenuh fokus kepada SSS2017.

“Alhamdulillah, kemenangan dalam pertandingan ini menjadi penawar duka untuk saya. Saya tak jangka akan menang dan sangat berterima kasih kepada semua pengundi dan peminat,” katanya lagi.

Kamal menepati ramalan apabila diumumkan sebagai juara Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

Kamal yang merupakan anggota kumpulan King Musang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000 dan trofi.

Manakala gelaran naib johan menjadi milik Fad Bocey sekaligus memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Sementara itu, Achey Bochey menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @kamaladli