Penyanyi Indonesia, Virgoun mendedahkan dirinya kagum dengan gaya penulisan lirik lagu-lagu di Malaysia.

“Saya membesar mendengar banyak lagu, termasuk lagu-lagu Malaysia. Saya gemar mendengar lagu kumpulan Iklim, Exist, Slam, Ella dan Nora.

“Melihatkan lirik lagu mereka, semuanya menggunakan laras bahasa yang indah serta puitis. Saya gemarkan gaya bahasa yang digunakan oleh penulis lirik Malaysia.

“Jika dibandingkan dengan lirik-lirik lagu zaman kini, banyak bahasa lebih mudah serta bahasa campuran digunakan,” kata Virgoun kepada Astro Gempak.

Tambah Virgoun, dia juga menggemari lagu Jampi nyanyian penyanyi Hael Husaini.

“Saya pernah berkongsi pentas dengan Hael sewaktu persembahan di Anugerah Planet Muzik 2017 tempoh hari.

“Saya benar-benar menyukai sentuhan Hael dalam lagu Jampi. Biarpun asas lagu itu ada irama balada, lagu tersebut mempunyai gabungan muzik elektronik di dalamnya. Liriknya juga bagus,” katanya lagi.

Virgoun kini berada di Malaysia untuk mempromosikan lagu Surat Cinta Untuk Starla.

Lagu tersebut mencipta fenomena tersendiri di Indonesia dan menjadi video muzik tempatan pertama Indonesia yang meraih tontonan sebanyak 100 juta kali di laman YouTube.

“Saya berharap agar lagu ini boleh mendapat tempat di Malaysia. Saya mahu melebarkan sayap di sini dan mahu memperkenalkan lagi muzik saya,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @virgoun_