Sejak mendirikan rumah tangga pada 7 Julai lali, pelakon Anis Al-Idrus mengakui jadual aktiviti seninya penuh dan sibuk sehingga hujung tahun ini.

Anis berkata meskipun padat dengan aktiviti seni, namun dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri seperti biasa.

"Alhamdulilah rezeki saya bertambah murah selepas berkahwin ini.

"Sejak sebelum kahwin lagi saya sudah terikat dengan satu penggambaran program dokumentari bertajuk Dia Pertama.

"Penggambaran itu dijangka tamat pertengahan bulan ini dan selepas itu memulakan sebuah penggambaran program baharu yang sekali lagi menampilkan saya sebagai pengacara.

"Namun saya bersyukur kerana suami saya amat memahami kerja saya dan kami menjalani kehidupan berumah tangga seperti biasa.

"Cuma kami belum berpeluang untuk berbulan madu bersama lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Pun begitu, Anis memberitahu dia tidak akan teragak-agak untuk memperlahankan aktiviti seninya selepas dimurahkan rezeki menimang cahaya mata kelak.

"Saya tidak pernah merancang bila saya akan menimang cahaya mata malah saya sudah bersedia bila-bila masa sahaja dari sekarang.

"Namun bila tiba masanya nanti, saya akan cuba perlahankan kerjaya saya supaya dapat mengutamakan apa yang terbaik untuk keluarga kami," katanya lagi.

Anis berkahwin dengan Mohd Rafzan iaitu seorang duda yang bekerja sebagai pereka dalaman.

Teks oleh: Syafiqah Jalal