Penyanyi dan pelakon, Amira Othman mendedahkan dirinya menjalani kelas lakonan khas bersama aktor Que Haidar untuk menyerlahkan bakat lakonan.

Kata Amira, selepas berguru dengan Que, lakonannnya kini lebih baik terutama ketika membintangi drama bersiri Red Velvet.

"Sebenarnya saya mengambil kelas lakonan bersama Que sebelum saya menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri Red Velvet lagi.

"Tidak sangka tawaran berlakon drama ini datang ketika saya sedang menjalani kelas lakonan tersebut.

"Malah saya masih lagi menjalani kelas lakonan tersebut biarpun sudah memulakan penggambaran.

"Saya rasa lebih yakin kini apabila sudah mempunyai sedikit ilmu dalam bidang lakonan, sekurang-kurang ia membantu saya untuk memperbaiki lakonan saya," katanya kepada Astro Gempak.

Pelakon Abang Bomba I Love You itu memberitahu kelas lakonan itu diambil atas inisiatifnya sendiri dan tiada paksaan.

"Tiada siapa paksa atau suruh tetapi ia datang dari inisiatif saya sendiri untuk mencari ilmu dalam bidang lakonan.

"Ia sebagai kepuasan dan pencapaian diri saya sendiri sahaja," katanya lagi.

Selain Amira, Red Velvet turut dibintangi oleh Alif Satar , Neelofa dan ramai lagi.

Red Velvet bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial, jangan lupa sertakan hashtag #RedVelvetDrama #RedVelvet.

Teks oleh: Syafiqah Jalal