Pelawak Achey dari kumpulan Bocey menafikan kredibiliti pelawak tercalar selepas kemenangan pelakon Kamal Adli dalam pertandingan Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

“Saya rasa tak tercalar, malah perkara ini tak seharusnya dijadikan isu pun. Jika dilihat kembali sejarah fraincais Spontan itu sendiri, ramai pelakon yang terlibat.

“Pada awal kewujudan Spontan sebelum siri pertandingan Super Spontan, ramai pelakon berbakat seperti Allahyarham Harun Salim Bachik dan Khir Rahman terlibat dengan Spontan.

“Selepas itu baru ada pelawak. Spontan merupakan campuran antara pelawak dan pelakon. Apabila wujudnya Super Spontan, barulah pelawak memonopoli. Jadi tak timbul isu mengenai kredibiliti dan sebagainya,” kata Achey kepada Astro Gempak.

Tambah Achey, mana-mana individu yang berkeyakinan dan mempunyai kebolehan untuk beraksi spontan boleh menyertai Super Spontan.

“Saya rasakan kehadiran pelakon memberikan lebih warna kepada program Super Spontan. Sesiapa sahaja boleh menyertai Super Spontan asalkan mereka mempunyai keberanian untuk beraksi spontan.

“Mana tahu untuk edisi seterusnya, ada lebih ramai individu lain seperti penyanyi atau ahli sukan dapat menyertai Super Spontan,” katanya lagi.

Kamal menepati ramalan apabila diumumkan sebagai juara Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

Kamal yang merupakan anggota kumpulan King Musang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000 dan trofi.

Manakala gelaran naib johan menjadi milik Fad Bocey sekaligus memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Sementara itu, Achey menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @acheykintangkintung