Selepas Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung, single terbaharu Dayang Nurfaizah berjudul Separuh Mati Ku Bercinta diramalkan bakal mengikut kemenangan tiga single terdahulu dalam beberapa anugerah seni tempatan.

Malah, lagu Separuh Mati Ku Bercinta juga bakal bersaing bersama 29 buah lagu hits semasa lain pada peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 bermula 29 Oktober ini.

Mengulas mengenai keistimewaan lagu Separuh Mati Ku Bercinta, Dayang menyifatkan single yang pernah menjadi runut bunyi drama rantaian itu satu nostalgia bersama salah seorang komposer yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu, Ajai.

"Separuh Mati Ku Bercinta merupakan ciptaan sepenuhnya Ajai, yang kredibilitinya tidak perlu diragukan lagi.

"Itu pun sudah cukup istimewa buat saya.

"Kali terakhir dia mencipta lagu untuk saya pun pada 15 tahun lepas menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta yang menang banyak anugerah ketika itu.

"Ia merupakan satu memori indah buat saya dan diharapkan lagu Separuh Mati Ku Bercinta pun mampu mengulangi sejarah lalu.

"Selain itu, melodi ciptaan Ajai sangat sedap, senang untuk dinyanyikan dan diingati serta sangat dramatik," jelas Dayang yang ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dayang antara penyanyi paling berpengalaman yang akan berentap untuk peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 pada 29 Oktober, 5 dan 12 November depan.

Selain Dayang, Siti Nordiana dan Haiza menyertai senarai 30 lagu terbaik menerusi pertaruhan lagu Terus Mencintai dan Jangan Pernah Berdusta.



Teks oleh: Amri Hassan
FOto: IG @dayangsayangkamu