Pengarah teater Ola Bola Muzikal, Puan Sri Tiara Jacquelina mendedahkan kos pementasan teater sulung arahannya merupakan naskah termahal dalam sejarah penerbitan produksi miliknya, Enfiniti Sdn Bhd.

Tiara berkata pementasan kali ini bakal dijayakan dengan hebat dan akan menjadi antara muzikal terbaik.

"Kalau boleh saya tak mahu mendedahkan kos sebenar pementasan ini.

"Namun apa yang boleh saya katakan, kos pementasan kali ini adalah paling mahal antara teater yang pernah saya terbitkan.

"Bagaimanapun bukan soal bajet yang besar jadi ukuran tetapi yang penting adalah kerana naskah itu sendiri layak untuk diberikan 'treatment' yang bagus.

"Kita semua tahu, sebelum ini Ola Bola adalah filem terbaik yang berjaya menawan hati semua orang dan saya pasti penonton akan menantikan sesuatu untuk versi muzikal pula.

"Saya tidak mahu buat sesuatu yang cincai. Alang-alang kalau kita buat sesuatu projek itu biarlah ia dijayakan dengan hebat," katanya kepada Astro Gempak.

Terdahulu, media pernah melaporkan desas-desus teater The Secret Life of Nora terbitan Enfiniti dianggarkan mencecah kos RM10 juta.

Tambah Tiara lagi, dia mahu penonton Ola Bola Muzikal nanti merasai pengalaman yang cukup luar biasa.

"Sebenarnya kali ini, benar- benar mahu berikan penonton satu pengalaman yang cukup berbeza dan luar biasa.

"Ia bukan teater muzikal yang biasa tetapi saya mahu penonton yang hadir rasa seolah-olah mereka seperti berada di dalam sebuah stadium menyaksikan perlawanan bola sepak,"katanya lagi.

Ola Bola Muzikal dibintangi oleh pelakon muda dan berbakat antaranya Luqman Hafidz, Lim Jian Wen, Iedil Putra, Altimet dan ramai lagi.

Wajah-wajah baru yang turut membintangi pementasan itu ialah Brian Chan sebagai Chow Kwok Keong atau Tauke, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu Kumar dan Kai Chalmers sebagai Eric Yong di mana masing-masing merupakan pelakon yang tidak asing lagi di pentas teater.

Sementara itu, Altimet pula bakal muncul sebagai penampilan istimewa dalam Muzikal Ola Bola ini dengan membawa watak Drill Sarjan Ahmad.

Muzikal ini bakal dipentaskan di panggung sari Istana Budaya pada 8 Februari 2018.