Minggu suku akhir AF Megastar menyaksikan Bob mengungguli lapan bintang yang berentap malam tadi.

Menerusi mash-up dua lagu berhantu Datuk Siti Nurhaliza iaitu Nirmala dan Balqis, Bob memukau penonton dan mendapat pujian juri.

Lebih indah, Bob juga mendapat pujian daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang berkesan dan berjaya melantunkan kedua-dua lagu itu dengan sempurna.

"Aduhai Bob alunan suaranya menyanyikan lagu tradisional tak perlu dipertikaikan. Beliau buat macam lagu sendiri lagu saya, tanpa cacat cela," tulisnya di Twitter malam tadi sejurus selepas persembahan Bob.


Netizen juga turut memberikan pujian terhadap persembahan Bob yang membawa kedua-dua lagu irama tradisional itu dalam rendisi tersendiri.

"Memang best Bob nyanyi versi sendiri. Tak tiru pun," tulis @mornibin_cd.

"Meremang bulu roma dengar Bob nyanyi lagu itu. Terbaiklah! Memang power," puji @ngahsahar.

"Terbaik untuk versi lelaki. Tapi untuk versi wanita, TokTi always in my heart," tulis @amir_nawawi.




Minggu suku akhir AF Megastar bertemakan Ikon dan setiap peserta telah menyanyikan beberapa buah lagu daripada seorang penyanyi.

Malang bagi Indah Ruhaila yang memilih lagu Bila Larut Malam, Gelora dan Mari Jalan Bersama nyanyian asal Puan Sri Saloma namun tersingkir malam tadi.

Tujuh bintang yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir adalah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Syamel, dan Amir.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Nak imbau kembali konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga AF2013, boleh didapati di Astro On Demand, untuk maklumat lanjut sila ke www.watchod.com

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ohselebriti, Twitter @CTNurhaliza11