Penyanyi baru yang kian popular, Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Tajul bakal memeriahkan Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017.

Bakal berlangsung pada 6 Oktober ini, antara artis lain yang bakal terlibat adalah Irfan Haris, Syed Shamim, Wani, Ronnie Hussien, Neon, Deen Asimi dan Fahd Ezuan.

Menurut Ippo Hafiz, dia sudah lama memasang impian untuk merealisasikan konsert sountrack.

"Menjadi seorang penyanyi dan komposer lagu runut bunyi untuk banyak drama membuatkan saya sudah lama merancang untuk mengadakan konsert sebegini.

"Insya-Allah, konsert ini akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi dan tiket dijual dengan bermula harga RM88 sehingga RM30.

"Ramai penyanyi lain memberikan maklum balas positif untuk menjayakan konsert yang julung kali diadakan ini dan saya rasakan konsert ini akan menyajikan hiburan bermutu untuk semua penonton," kata Ippo kepada Astro Gempak.

Konsert ini bakal menyajikan rangkaian lagu-lagu popular dendangan dan ciptaan Ippo serta lagu-lagu popular penyanyi lain yang pernah menjadi lagu tema filem dan drama tempatan.

Untuk pembelian tiket Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017, layari laman web www.ticketpro.com.my.

Teks oleh: Kamaruddin Razal