Kehangatan AF Megastar semakin terasa dan penyingkiran dua bintang iaitu Adira Suhaimi dan Azhar Osman pada konsert pertama malam tadi benar-benar mengejutkan.

Malah, ada antara peminat kedua-dua penyanyi itu meluahkan rasa kesal dan terkilan kerana bintang pujaan mereka disingkirkan terlebih awal.

Lebih menarik, sejurus penyingkiran Adira dan Azhar malam tadi, ada antara peminat yang hadir ke Royal Theatre Shah Alam gagal menahan sebak hingga menangis!


Mengulas mengenai penyingkiran malam tadi, kata Syafinaz kedua-dua bintang itu gagal mencapai piawaian untuk kekal berada dalam AF Megastar.

"Pemarkahan dibuat berdasarkan persembahan mereka dan tidak dinafikan mereka memang penyanyi yang baik.

"Cuma kesilapan mereka kerana gagal memberikan momentum persembahan yang dikehendaki dan silap menginterpretasi lagu yang mereka sendiri pilih," katanya.

Adira yang menyanyikan lagu Ikut Rentakku meraih markah 29.3 peratus manakala Azhar yang mempersembahkan lagu Dalam Gerimis hanya mendapat 17.1 peratus dan meletakkan mereka di tempat tercorot.

10 peserta mara ke minggu seterusnya iaitu Bob, Marsha, Idayu, Shahir, Amir, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Sufi, Ewal, dan Syamel.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Amri Hassan