Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, memilih pasar malam sebagai lokasi untuk mempromosikan album Angin Kencang yang dipakej semula.

Menurut Noh, ini merupakan salah satu cara untuk dia mendekati peminat serta berinteraksi dengan mereka secara langsung ketika melakukan promosi.

"Idea ini datang secara spontan dan saya memilih pasar malam kerana ia merupakan tempat yang dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak kira usia.

"Sambil melakukan promosi album, secara tidak langsung saya dapat mendekati peminat serta bergambar dengan mereka.

"Sejak awal pembabitan dalam industri, memang itulah asas hubungan antara saya dan peminat kerana ingin lebih dekat dengan mereka.

"Saya akan mengadakan sebuah persembahan secara santai dan peminat juga boleh mendapatkan album Angin Kencang ketika sesi jelajah yang diadakan," katanya kepada Astro Gempak.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Jelajah Album Angin Kencang, di Warner Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bercerita mengenai Jelajah Album Angin Kencang, Noh akan mengadakan persembahan jelajah pada Sabtu ini di Padang Kota Lama, Pulau Pinang (16 September) dan Gerbang Malam, Ipoh, Perak (17 September).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi