Pelakon Zahiril Adzim akui kekok apabila disatukan dengan isterinya, Shera Aiyob dalam satu penggambaran ketika menjayakan drama bersiri Perempuan Paling Bahagia.

Zahiril berkata situasi kekok itu telah menyebabkan penggambaran drama tersebut terganggu pada permulaannya.

"Terus-terang saya jadi kekok bila berlakon dengan isteri sendiri.

"Sukar hendak bayangkan dia dengan watak dalam drama itu kerana dah tahu dia isteri saya.

"Saya pula jadi kekok untuk jadi orang lain bila berdialog dengan isteri sendiri kerana bila di rumah tidak begitu.

"Jadi kami rasa kelakar pula dengan watak masing-masing hinggakan penggambaran terpaksa dipotong beberapa kali.

"Tapi setelah beberapa kali penggambaran kami dapat biasakannya," katanya kepada Astro Gempak.

Zahiril ditemui ketika sesi fotografi bersama barisan pelakon pencalonan awal Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM 29) di Hotel Park Royal, petang tadi.

Perempuan Paling Bahagia merupakan drama bersiri yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Rabu jam 9 malam di Astro Oasis (105) dan Astro Maya (135).

Pun begitu, Zahiril tidak menafikan ia menjadi mudah apabila pergerakannya bersama isteri tidak terbatas apabila mereka membawakan watak suami isteri.

"Bila berlakon dengan isteri sendiri ni jadi mudah bila membawakan watak intim kerana kita tidak rasa was-was untuk berpegangan dan berpelukan.

"Dalam drama ini kami pada mulanya bercinta menjadi pasangan kekasih sehinggalah berkahwin.

"Apa-apa pun rasa seronok juga berlakon dengan isteri sendiri kerana kami boleh berbincang watak masing-masing bila di rumah," katanya lagi.

Terdahulu pasangan ini pernah berlakon bersama dalam filem Juvana.

Teks oleh: Syafiqah Jalal