Bintang realiti Kim Kardashian dan suaminya, Kanye West bakal menimang cahaya mata perempuan pada bulan Januari tahun depan.

Bagaimanapun, pasangan itu menggunakan teknik ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat kali ini.

Menurut laporan The Daily Mail UK, Kim dan Kanye telah membayar sebuah agensi sebanyak AS$45,000 (RM189,540) untuk mendapatkan khidmat ibu tumpang yang merupakan seorang wanita berketurunan Afro-Amerika berusia awal 30-an.

Ibu tumpang itu perlu mengikuti rejim pemakanan dan kesihatan seperti yang disediakan Kim bagi memastikan kesihatan bayi yang bakal dilahirkan.

Malah, ibu tumpang itu dilarang mengambil nikotin, alkohol, dadah dan kafein.

Bintang realiti Keeping up With The Kardashians itu menggunakan khidmat ibu tumpang kerana mengalami masalah komplikasi serius pada rahim dan dinasihatkan agar tidak mengandung lagi.

Kim dan Kanye mempunyai sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan North, 4, dan Saint, 2, hasil perkahwinan mereka.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: The Daily Mail