Filem yang berkisarkan tentang kisah hidup pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei bakal diabadikan dalam filem bercorak biografi.

Projek terbitan CB Pictures Sdn Bhd itu akan menjalani penggambarannya pada pertengahan tahun depan dan dijangka menemui penonton pada 2018.

Filem yang ketika ini menggunakan judul Menjulang Kejuaraan itu turut disasarkan untuk tayangan peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun pengarahnya, Tee Bee Leng berkata, mereka masih dalam proses memujuk Chong Wei berlakon filem tersebut.

“Kami juga masih dalam proses memujuk Chong Wei untuk berlakon dalam filem ini.

"Sekiranya beliau tidak berminat, kami akan mencari pelakon lain yang handal bermain badminton. Proses uji bakat bagi mencari barisan pelakonnya akan dijalankan pada hujung tahun ini," kata Bee Leng selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara produksi terbabit dengan wakil Chong Wei, Lee Chong Hoon yang juga abang kepada jaguh sukan itu, di hotel Mandarin Oriental baru-baru ini.

Menurut pengarahnya, Teng Bee Leng, mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk mendapatkan keizinan dan hak pembikinan filem mengenai kisah hidup wira badminton terbabit.

"Begitupun, kami masih berbincang dari segi penceritaan, sama ada ia berkisar mengenai kerjaya sukan badminton beliau ataupun kisah cinta,” katanya.

Kata Beng Leng lagi, bagi mendapatkan keaslian penceritaan, filem itu juga akan mengetengahkan dialog dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Mandarin dan Melayu.

"Kita menjangkakan, filem ini akan mula ditayangkan pada 2018 bukan saja di Malaysia dan Taiwan, sebaliknya turut dibawa ke peringkat antarabangsa bagi memberi inspirasi serta motivasi kepada penonton," katanya.

Tambahnya, kos pembikinan filem dianggarkan bernilai RM4.5 juta, dan turut mendapat kerjasama daripada produksi Taiwan yang membolehkannya menembusi pasaran negara berkenaan.

Bagaimanapun Chong Wei tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana berada di Denmark bagi menyertai kejohanan badminton terbuka negara itu, yang bermula Rabu.

Ketika sidang media, menerusi sebuah tayangan video, Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio lalu berharap akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan filem itu.