Bintang AF Megastar, Idayu akui mengambil masa 12 tahun untuk membuat kemunculan semula kerana sebelum ini dia tidak pernah diberikan peluang tersebut.

Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) itu berkata, impiannya untuk menjadi penyanyi tidak pernah pudar selepas menyertai program realiti berkenaan.

"Terus-terang sebenarnya saya tidak pernah diberi peluang untuk terus berada di dalam industri selepas AF3.

"Bukan saya tak mahu, cuma saya tidak sempat untuk menonjolkan bakat yang saya ada sebelum ini.

"Saya fikir mungkin peluang tidak sampai lagi masa itu.

"Jadi saya pun terus memberi fokus kepada perniagaan keluarga saya tetapi bukan berniat hendak menyepikan diri dalam industri seni tanak air," katanya kepada Astro Gempak.

Idayu bagaimanapun bersyukur kerana terpilih menyertai program nyanyian terbesar AF Megastar dan berentap bersama 23 bintang AF lain dalam pusingan Konsert AF Homecoming pada 3 September ini.

"Saya anggap ini rezeki, selepas 12 tahun menyepi akhirnya saya terpilih untuk menyertai AF Megastar.

"Selama ini pun saya tidak pernah berhenti menyanyi kerana saya masih menerima undangan nyanyian serta aktif menyanyi di laman Smule.

"Saya harap dengan AF Megastar saya dapat tunjukkan sesuatu kepada peminat saya yang selama ini menantikan kemunculan saya," katanya lagi.

Selain Idayu, bintang Akademi Fantasia lain yang bakal berkongsi pentas dengannya ialah Zahid (AF2), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014) , Sufi (AF2015), Amir (AF2016), Rosma (AF1), Bob (AF2), Adam (AF2), Anding (AF2), Marsha Milan (AF3), Amylea (AF3), Nubhan (AF6), Ari Pilus (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Indah Ruhaila (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016).

Selama lapan minggu program AF Megastar akan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula 3 September 2017.


Teks oleh: Syafiqah Jalal