Bintang Gegar Vaganza 3 (GV 3), Zur Eda tidak mengambil serius tentang isu yang melandanya sebelum konsert pertama bermula minggu lalu.

Sebaliknya, pelantun lagu Kelmarin itu, kontroversi tersebut hanyalah sesuatu yang remeh-temeh untuk difikirkan.

“Secara jujurnya, apabila isu foto saya diperbesarkan, sikitpun saya tidak kata apa-apa. Tetapi fan club saya, ‘Zur Eda Lovers’ yang marah kerana mereka ambil berat tentang saya.

“Saya bersyukur mempunyai fan club seperti ‘Zur Eda Lovers’ kerana mereka yang menyokong dan memberikan kata-kata positif kepada saya supaya tidak menghiraukan perkara tersebut,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui selepas konsert pertama GV 3, Ahad lepas.

Tambah Zur Eda, dia hanya memandang perkara tersebut dari sudut positif kerana selepas isu tersebut dirinya lebih dikenali.

“Saya fikir positif sahaja. Mungkin dengan apa yang terjadi ini, secara tidak langsung ramai lagi yang semakin mengenali saya dan dapat menaikkan nama sendiri.

“Apatah lagi saya sekarang sedang bertanding dalam program realiti. Saya tidak terasa hati mahupun tertekan dengan perkara ini.

“Mula-mula kena kecam memang terkejut tetapi baru saya sedar rupanya ramai yang ambik tahu pasal saya,” ujarnya.

Konsert kedua GV3 bertemakan Memori Berkasih Ahad ini, Zur Eda bakal menyanyikan lagu dendangan Dayangku Intan berjudul Berpaut Di Dahan Cinta.

“Pada minggu ini saya akan membuat persembahan yang terbaik, apa pun cabaran yang datang saya akan libas!

“Tak kisahlah Hantu Kak Limah ke hantu bungkus, yang penting, saya akan bawak kelainan dalam persembahan saya,” katanya ketawa.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan boleh ditonton secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9.00 malam.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin