Pelakon Nazeera Sardi dan bintang Akademi Fantasia, Azhar Osman telah diberikan dua cabaran melibatkan pengurusan wang.

Kedua-duanya dibekalkan RM300 untuk memilih pakej telekomunikasi baharu berdasarkan langganan bulanan yang ditawarkan bersama telefon bimbit.

Apabila kedua-duanya 'diperangkap' dan diperdayakan oleh seorang pembeli upahan, baik Nazeera mahupun Azhar kedua-duanya tumpas dan membelanjakan wang tersebut untuk membeli pakej telekomunikasi baharu walaupun kini sudah sedia ada.

Situasi terjebak berbelanja itu sebenarnya dapat ditonton menerusi rancangan realiti kewangan Let's Du It yang sudah bersiaran sejak Isnin lalu.

Episod pertama mengupas perkara yang akan terjadi kepada peserta jika mereka terjebak dengan komitmen bulanan yang bukan keperluan.

Nazeera dan Azhar sekali lagi diberikan wang berjumlah RM300 untuk dibahagikan kepada tiga tabung berbeza yang mereka sendiri namakan.



"Saya putuskan untuk memasukkan RM100 untuk Percutian, RM100 untuk Pelaburan dan RM100 untuk Keluarga," kata Nazeera.



Namun, bagi Azhar dia mewujudkan tiga buah tabung iaitu Wajib, Suka Ria Kaw Kaw dan Future Planning bagi melaburkan RM300 setiap bulan.

"Tabung Wajib untuk segala keperluan asas seperti bil elektrik dan sewa rumah, Suka Ria Kaw Kaw untuk keluar bersama kawan-kawan seperti karaoke, Future Planning untuk persediaan yang kita tak tahu apa akan berlaku," kata Azhar.

Let's Du It merupakan sebuah rancangan realiti kewangan yang dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Razif.

Cabaran akan diberikan kepada setiap peserta setiap minggu berdasarkan tema tertentu berkisar masalah yang sering dihadapi orang awam setiap hari.

Penonton akan menyaksikan peserta menyahut cabaran untuk membelanjakan wang dengan bijak dan menyimpan secara konsisten.

Jangan lepaskan peluang menonton rancangan realiti kewangan Let's Du It setiap hari Isnin pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Teks oleh: Amri Hassan