Bekas peserta Gegar Vaganza 3 (GV3), Intan Sarafina akui gementar menantikan maklum balas peminat terhadap single terbarunya, Jika Aku Untukmu yang bakal keluar tidak lama lagi.

Intan atau nama sebenarnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya berkata lagu tersebut lagi mengekalkan konsep balada namun diberi sentuhan segar mengikut peredaran masa kini.

“Memang saya berdebar, maklumlah sudah hampir 15 tahun saya tiada sebarang album atau pun lagu baru.

“Saya juga ambil sedekit masa untuk mendalami lagu itu dan saya bersyukur kerana tiada sebarang masalah ketika sesi rakaman dijalankan.

“Bekerja dengan Farouk dan Amylea AF memang sangat seronok dan mereka juga jenis yang terbuka untuk menerima pendapat orang lain mengenai lagu tersebut.

“Lagu ini sebagai salah satu tanda saya akan kembali aktif dalam bidang nyanyian dan saya harap peminat dapat menerima lagu ini dengan baik,” katanya kepada Astro Gempak.

Jika Aku Untukmu merupakan lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik ditulis oleh Amylea Azizan

Teks oleh: Mya Amri