Pelakon Korea, Lee Sun Gyun mendedahkan telah jatuh hati dengan aktres Song Ji Hyo.

Menurut Lee Sun Gyun, dia terpikat dengan keperibadian dan senyuman manis wanita itu selepas digandingkan bersama dalam drama berjudul, This Week, My Wife Is Having an Affair.

“Baru sekarang saya faham kenapa Song Ji Hyo begitu disayangi oleh peminatnya, karakternya membuatkan ramai yang jatuh hati dengannya.

“Ini kali pertama kami bergandingan dan saya akui dia sangat cantik, tidak hanya pada wajah tetapi juga sikapnya.

“Apabila kami jumpa secara berdepan, saya rasa jatuh cinta dengan senyumannya. Dia buat saya terpukau!” katanya seperti yang dilapor Soompi.

Dalam pada itu, Lee Sun Gyun juga mengakui berbesar hati dapat berlakon bersama anggota wanita Running Man itu.

“Dia seorang yang menyenangkan dan sewaktu sesi penggambaran memang seronok. Kami enjoy, dan saling bergantung antara satu sama lain untuk menghidupkan watak yang diberikan.

“Ada beberapa babak yang memerlukan saya bertengkar dan benci dengan dirinya, bila difikirkan tentang perkara itu saja dah cukup membuatkan hati saya rasa sakit,” ujarnya.

‘This Week, My Wife Is Having an Affair’ merupakan sebuah drama romantik komedi yang mengisahkan tentang seorang suami yang cuba untuk memulihkan rumah tangganya selepas mendapati isterinya curang.

Drama tersebut bakal ditayangkan pada hujung Oktober ini.

Olahan: Mya Amri

Sumber: Soompi